Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia Ke-80

Pembentukan pasukan tentera yang dikenali Rejimen Melayu pada 1 Mac 1933 merupakan asas kepada Penubuhan Angkatan Tentera Malaysia yang diisytiharkan semasa pembentukkan Malaysia pada 16 September 1963.



Angkatan Tentera Malaysia telah berkembang sejak lapan dekad yang lalu daripada sebuah pasukan tentera semasa kolonial kepada Angkatan Tentera Serba Lengkap dan Canggih (FULL SPECTRUM FORCE).

Perjalanan yang begitu panjang dan penuh liku-liku tersebut tidak sepi daripada pengorbanan yang menitiskan darah,keringat dan air mata supaya rakyat Malaysia dapat menikmati keamanan dan kemakmuran hasil daripada persekitaran yang aman yang dipertahankan oleh  Angkatan Tentera Malaysia.

Angkatan Tentera Malaysia pada hari ini terus berbakti kepada negara dalam persekitaran geostrategik yang sentiasa berubah, baik didalam mahupun diluar negara. Berbekalkan teknologi canggih dalam perlaksanaan pendekatan yang melibatkan tiga elemen iaitu manusia,mesin dan metod, Angkatan Tentera Malaysia terus memelihara keamanan serta menyumbang kepada pembangunan negara.

Duit syiling ini dikeluarkan untuk memperingati perkembangan yang telah dilalui oleh Angkatan Tentera Malaysia selama lapan dekad untuk menjadi sebuah Angkatan Tentera Serba Lengkap dan Canggih, yang mengingatkan kita akan pengorbanan, usaha dan legasi para pahlawan negara yang terdahulu.

Tiga platform yang dipaparkan pada duit syiling iaitu Kereta Kebal Utama Pendekar PT-91, Kapal Selam Scorpene dan pesawat pejuang Sukhoi -SU-30M mencerminkan kesepaduan dimensi permukaan, dibawah permukaan dan aeroangkasa dalam peperangan moden.

Duit Syiling ini merupakan testimoni kepada usaha Angkatan Tentera Malaysia untuk menjadi PASUKAN SERBA LENGKAP DAN CANGGIH ( FULL SPECTRUM FORCE ) yang moden dan efektif.

EDISI TERBITAN BNM

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Bersempena Dengan Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia Ke-80

Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia Ke-80. Kewujudan Angkatan Tentera Malaysia bermula dengan pembentukan Rejimen Askar Melayu pada 1 Mac 1933, yang kemudiannya dikenali sebagai Angkatan Tentera Malaysia berikutan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.  Angkatan Tentera Malaysia telah berkembang sejak lapan dekad yang lalu daripada sebuah pasukan tentera kepada Angkatan Tentera Serba Lengkap dan Canggih (Full Spectrum Force).

Spesifikasi duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:
  1. Duit Syiling Peringatan Emas (pruf)
    Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan harga jualannya RM1,800 sekeping. Sebanyak 500 keping sahaja ditempa.

  2. Duit Syiling Peringatan Perak (pruf)
    Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam Perak Sterling dengan ketulenan 92.5 dan berat setiap keping ialah 21.00 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya RM150 sekeping. Sebanyak 1,000 keping sahaja ditempa.

  3. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic
    Nilai muka duit syiling Emas Nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya RM10 sekeping. Sebanyak 25,000 keping sahaja ditempa.
Kesemua duit syiling ini juga boleh didapati dalam set 3 dalam 1 dan set 2 dalam 1. 

Set 3 dalam 1 mengandungi duit syiling emas, perak dan emas nordic pruf. Set ini akan dijual pada harga RM2,000 dan hanya terdapat 500 set sahaja. 

Set 2 dalam 1 pula mengandungi duit syiling perak dan emas nordic pruf. Set ini akan dijual pada harga RM200 dan hanya terdapat 750 set sahaja. 

Butiran terperinci berkenaan spesifikasi kesemua duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran I.

Lampiran I
Reka Bentuk Duit Syiling
Berikut ialah keterangan mengenai reka bentuk duit syiling peringatan tersebut:
  1. Bahagian Hadapan Duit Syiling
    Reka bentuk duit syiling peringatan ini memaparkan ketiga-tiga bahagian Angkatan Tentera Malaysia, iaitu jet pejuang untuk mewakili Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kereta kebal untuk mewakili Tentera Darat Malaysia (TDM), dan kapal selam untuk mewakili Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Perkataan “ULANG TAHUN KE-80 ANGKATAN TENTERA MALAYSIA” dipaparkan pada bahagian atas duit syiling manakala tahun “1933-2013” yang menunjukkan tempoh 80 tahun kewujudan Angkatan Tentera Malaysia dipaparkan pada bahagian bawah reka bentuk syiling.

  2. Bahagian Belakang Duit Syiling
    Bahagian tengah duit syiling peringatan ini memaparkan logo Angkatan Tentera Malaysia. Perkataan “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini dipaparkan pada bahagian atas duit syiling manakala nilai muka syiling tertera pada bahagian bawah reka bentuk duit syiling tersebut.
Reka bentuk keseluruhan duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran II.

Lampiran II
Lokasi Jualan

Duit syiling peringatan ini ditempa dan diedarkan oleh Bank Negara Malaysia dan akan mula dijual pada 23 Disember 2013 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (MAG) di Sasana Kijang, Kuala Lumpur dan pejabat wilayah di Pulau Pinang dan Johor Bahru serta  cawangan di Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

Display Box

Pandangan Depan

Pandangan Belakang


Post a Comment

0 Comments